DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
Tajuk posting pada hari ini diambil daripada hadith Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari & Muslim. Hadith "Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain" adalah slogan Briged Bakti Malaysia (BBM). Ada sepotong hadith yang relevan dengan hadith ini ialah "Orang yang paling dicintai oleh Allah Ta'ala adalah yang paling bermanfaat kepada sesama manusia" ( Majmu'ad Az-Zawaaid wa Manii'u al-Fawaaid Juz 8,hlm.121)
Melalui kefahaman hadith ini, semua individu yang menyertai BBM perlu mengamalkan maksud hadith ini. Dalam erti kata yang lain, apabila telah rasmi menjadi ahli BBM, maka setiap ahli perlu bermanfaat kepada umat manusia tanpa mengira agama, bangsa dan darjat keturunan. Ketika ahli BBM memberi manfaat kepada manusia lain, maka Allah Ta'ala juga akan mencintai individu tersebut. Apabila kesemua ahli BBM yang mengamalkan hadith ini, maka organisasi BBM juga akan mendapat perhatian daripada Allah Ta'ala.
Justeru, kami ingin mengajak seramai mungkin sesiapa sahaja yang hendak menghidupkan sunnah Nabi SAW dalam bermasyarakat, agar sentiasa memberi manfaat kepada semua manusia. Jika tidak mampu memberi manfaat, maka janganlah kita menimbulkan kemudharatan buat manusia.
Berikut adalah situasi contoh dalam kehidupan seharian kita ;
1) Budaya bersih adalah tuntutan agama, jika kita terjumpa sampah maka kita perlu kutip dan buang sampah tersebut. Ini akan memberi manfaat kepada orang lain. Tetapi jika kita malas untuk mengutip sampah tersebut, janganlah kita pula yang membuang sampah di tempah tersebut dengan andaian, orang lain buat sampah kita pun ikut sama buang sampah.
2) Ketika di jalan raya, budaya memberi laluan kepada pemandu lain adalah satu sikap pemandu yang berhemah. Jika kita tidak mampu untuk memberi laluan kepada pemandu lain, kita janganlah memotong pemandu lain yang akan menyebabkan pemandu tersebut marah dengan kita.
3) Jika dalam sesebuah komuniti menganjurkan program gotong royong, ikut serta dalam program tersebut adalah bertepatan dengan hadith di atas, tetapi jika kita malas turut serta, berilah kerjasama dengan memudahkan urusan gotong royong tersebut dan bukannya kita hanya memberi sungutan serta alasan sahaja.
Tiga situasi di atas adalah contoh di antara kisah-kisah dalam masyarakat yang berlaku hari ini. Bagi BBM, kami berusaha untuk melatih seramai mungkin anak-anak sekolah yang menyertai BBM agar membudayakan maksud hadith di atas.
Semoga Allah Ta'ala menerima semua amal kebaikan kita sebagai deposit kita di hari akhirat kelak. Perkara yang penting sekali ialah sifat IKHLAS yang perlu disuburkan dalam diri kita sebagai penggerak sosial yang terlibat di dalam masyarakat.
Hanya Allah Ta'ala jua yang Maha Mengetahui
No comments:
Post a Comment