Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Ramai yang sering berbicara soal perjuangan. Apakah maksud perjuangan?? Mari kita rujuk kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) berkenaan maksud perjuangan...
Terdapat dua makna yang diberikan iaitu 1) perbuatan atau hal berjuang ; perlawanan , dan 2) perihal berjuang untuk merebut (mencapai, mempertahankan) sesuatu.
Manakala dalam bahasa Arab pula perjuangan adalah mujahadah juga boleh disama ertikan dengan istilah jihad.
Di dalam kitab Bulughul Maram, karangan Ibnu Hajar al-Asqolani, dalam bab jihad telah memuatkan sebanyak 47 hadith yang berkaitan jihad.Berikut adalah beberapa petikan daripada kitab Bulughul Maram:
1) Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda;" Barangsiapa mati sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, ia mati dalam satu cabang kemunafikan". ( Muttafaq Alaihi)
2) Daripada Anas bahawa Nabi SAW bersabda;" Berjihadlah melawan kaum musyrikin dengan hartamu, jiwamu dan lidahmu"
(Riwayat Ahmad & Nasai. Hadith Shahih menurut Hakim)
3)Daripada Aisyah r.a: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, apakah perempuan wajib berjihad? Baginda menjawab: Ya, jihad tanpa ada peperangan di dalamnya iaitu haji dan umrah. ( Riwayat Ibnu Majah dan asalnya Kitab Bukhari)
4) Abdullah Ibnu Umar r.a berkata: Ada seseorang menghadap Rasulullah SAW meminta izin ikut berjihad(berperang).Beliau bertanya, Apakah kedua orang tuamu masih hidup? Ia menjawab, Ya. Baginda bersabda, Kalau begitu berjihadlah untuk kedua orang tuamu. ( Muttafaq Alaihi)
5) Ahmad dan Abu Daud juga meriwayatkan hadith yang serupa daripada Abu Said dengan tambahan : Pulanglah dan mintalah izin kepada mereka.Jika mereka mengizinkan, berjihadlah dan jika tidak berbaktilah kepada mereka berdua.
Kesimpulan daripada hadith di atas ialah ;
1) Islam telah meletakkan nilai berbakti kepada kedua ibubapa sama taraf dengan berjihad di jalan Allah.
2) Jihad bukan hanya sekadar peperangan bersenjata tetapi juga melakukan sesuatu usaha dengan gigih bagi mencapai matlamat yang mulia.
3) Jihad memerlukan pengorbanan masa, harta dan jiwa bagi memastikan kejayaan yang ingin dicapai.
4) Setiap individu perlu mempunyai azam serta tekad untuk berjihad di jalan Allah bagi mengelakkan kita terjerumus dalam cabang kemunafikan.
5) Jihad itu adalah sesuatu yang sukar dan keras sifatnya, justeru perlulah mempunyai komitmen yang tinggi dalam usaha untuk berjihad.
Apakah kaitan perjuangan,jihad dan BBM?
Perjuangan dalam bahasa Melayu. Jihad pula dalam bahasa Arab.
Manakala BBM semamangnya berada di jalan perjuangan atau jihad untuk mengembalikan seramai mungkin insan terutamanya golongan remaja dan belia kembali ke jalan Allah kerana tergelincir dengan arus permodenan fatamorgana yang amat hebat bak tsunami yang melanda pantai hingga ke daratan.
Pegangan BBM ialah "Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain" perlulah dihayati oleh semua pendokong, penyokong, rakan, sahabat mahupun penyumbang kepada BBM.
Kami berusaha sekuat mungkin bagi memastikan seramai mungkin anak-anak muda menghayati nilai-nilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Sedia Berbakti
No comments:
Post a Comment