Monday, 30 November 2015

LATAR BELAKANG BBM

Dengan  Nama  ALLAH  Yang  Maha  Pemurah  Lagi  Maha  Penyayang

Briged Bakti Malaysia (BBM) bermula dengan penubuhan Briged Bakti Kelantan pada tahun 1991. Dato’ Dr Abdul Razak Bin Kechik  merupakan Pengerusi Kebangsaan BBM yang pertama setelah pertubuhan ini didaftarkan sebagai pertubuhan peringkat kebangsaan. Kini BBM mempunyai 10 cawangan di seluruh negara iaitu Perlis, Kedah,Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Falsafah BBM berasaskan kepada ruh/semangat daripada kalimah al-Birr dalam surah al-Baqarah ayat 177. Kalimah Al-Birr maksudnya mencangkupi kebajikan, kebaktian, kebaikan, kesukarelawanan dan kemanusiaan yang berteraskan kepada pengabdian kepada Allah SWT.

Sejak daripada penubuhan BBM, fokus utama ialah membangunkan anak-anak muda agar sentiasa segar dengan budaya dan semangat berbakti kepada masyarakat. Justeru, BBM memulai langkahnya dengan menggerakkan unit uniform di sekolah kerana di sekolahlah anak-anak muda ini dapat dididik dan disemai dengan budaya berbakti. BBM sentiasa mempunyai impian agar setiap pelajar yang menyertainya akan terus menyuburkan budaya berbakti kepada masyarakat, negara dan agama apabila mereka melepasi dunia persekolahan mereka.

Kini BBM bergerak dengan dua fungsi utama iaitu Bahagian Beruniform  di peringkat sekolah dan Bahagian Masyarakat yang terbuka kepada semua individu yang berminat. Fungsi Bahagian Masyarakat telah dikembangkan kepada mahasiswa/mahasiswi IPT. Penglibatan mahasiswa IPT telah membentuk skuad IPT BBM yang sangat penting bagi menjayakan hasratnya dalam penerapan aktiviti kesukarelawan. Skuad IPT juga berperanan sebagai fasilitator atau jurulatih di dalam pelbagai aktiviti yang akan dijalankan oleh BBM. Ini sejajar dengan dasar kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu mengalakkan para penuntut IPT terlibat di dalam aktiviti kesukarelawanan. Justeru, BBM berusaha melatih seramai mungkin mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam Skuad IPT dalam program kesukarelawanan serta penglibatan mereka secara langsung ke dalam komuniti. BBM amat menyakini bahawa pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan adalah mahasiswa dan mahasiswi yang kini sedang menuntut ilmu di semua IPTA/UA atau IPTS/US seluruh negara. Oleh yang demikian, BBM amat serius dalam usaha membangunkan para siswa siswi dengan tiga fokus utama iaitu Kepimpinan, Kesukarelawanan dan Modal Insan agar hasrat mereka sebagai pelapis kepimpinan negara bakal tercapai.

Aktiviti kesukarelawanan BBM amat menekankan agenda pembangunan masyarakat secara kolektif dengan pelbagai pihak termasuklah pihak kerajaan, komuniti dan industri. Antara program-program yang telah dijalankan seperti mosquecare, peduli marhaen, pendidikan anak yatim miskin dan sebagainya. BBM juga telah berjaya menjalankan program kesukarelawanan secara kerjasama dengan pelbagai pihak melalui pendekatan Corporate Social Responbility (CSR) atau Tanggungjawab Sosial Korporat.

BBM mengutamakan aspek pembudayaan ilmu di dalam setiap program ataupun aktiviti di semua peringkat. Pembudayaan ilmu ini terdapat 7 nilai utama iaitu 1) Mementingkan ilmu,2) Mengekalkan hasil ilmiah, 3) Berterusan dalam keilmuan, 4) Hormat kritis terhadap ilmu, 5) Kepimpinan, 6) Musyawarah dan 7) Menghargai peranan wanita.

Slogan BMM ialah “ sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain”, perlulah disebarkan kepada seramai mungkin manusia agar setiap inci kehidupan kita dalam dunia ini mendapat rahmat dan bekerkatan daripada penguasa seluruh alam, Allah SWT.

No comments:

Post a Comment